Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor memulakan pelbagai persiapan awal, bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ini termasuklah melibatkan penugasan anggota, aspek keselamatan, logistik serta penyelarasan antara agensi.

Beliau berkata persiapan awal amat penting, bagi membolehkan segala perancangan berkaitan keselamatan dapat disusun dengan teliti, selain setiap keperluan operasi boleh dikenal pasti dengan lebih awal.

“Apa yang penting, rakyat dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan selesa dan yakin, manakala suasana demokrasi yang sihat terus dipelihara.

“Insya-Allah, dengan persiapan rapi serta kerjasama semua pihak, PRN Johor akan dapat dilaksanakan dengan lancar, aman dan harmoni demi kepentingan rakyat dan negeri Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Saifuddin Nasution singgah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat untuk mendengar taklimat berkaitan persiapan serta tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menghadapi PRN Johor.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan mesyuarat khas bagi urusan PRN Johor ke-16 akan diadakan pada 12 Jun, bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Johor seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya itu.

DUN Johor dibubarkan pada Isnin selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail. – BERNAMA