PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan memastikan peruntukan sehingga RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyokong pelaksanaan TVET 2.0 dimanfaatkan sepenuhnya.
Menterinya, Datuk Seri R Ramanan, berkata ia bagi pelaksanaan program berimpak tinggi dalam usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta mengarusperdanakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama pembangunan bakat dan kerjaya negara.
Katanya, inisiatif itu juga akan membantu memperkukuh ekosistem pembangunan kemahiran negara bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membangunkan bakat masa hadapan negara yang berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan sejajar dengan keperluan industri.
“Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menekankan pembangunan modal insan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyempurnakan Sambutan Hari TVET Negara hari ini dilaporkan berkata kerajaan membenarkan dana sehingga RM50 juta daripada Program Berimpak Tinggi di bawah PTPK untuk TVET.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat dengan syarat majikan dan pihak industri bekerjasama dengan kerajaan berikutan mereka adalah pihak yang bakal mendapat manfaat daripadanya.
Mengulas lanjut, Ramanan yakin peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri akan membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia, pekerja dan usahawan PMKS untuk meningkatkan kemahiran serta menyertai sektor-sektor ekonomi bernilai tinggi.
Beliau berkata, dana berkenaan akan disalurkan bagi pelaksanaan program-program berimpak tinggi di bawah penyelarasan Majlis TVET Negara (MTVET) dan PTPK, dengan fokus kepada sektor strategik termasuk Elektrik dan Elektronik (E&E), ekonomi hijau, ekonomi biru serta ekonomi jingga yang dikenal pasti sebagai bidang pertumbuhan baharu dan berpotensi tinggi.-BH Online
