KUALA LUMPUR: Kawasan hijau dan kolam takungan banjir di Kuala Lumpur akan diwartakan segera bagi menjamin kepentingan awam serta kesejahteraan warga kota.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata perkara itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu proses pewartaan kawasan berkenaan dipercepatkan.
Menurut beliau, titah tersebut dizahirkan ketika pihaknya menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara pada Khamis lalu bagi membincangkan pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur.
“Baginda telah bertitah supaya jangan kita lambatkan keputusan pewartaan kawasan-kawasan seperti kawasan hijau dan kolam takungan banjir kerana ini adalah kawasan-kawasan untuk kepentingan awam dan kita kena mempercepatkan.
“Bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas khas yang memberi tumpuan kepada usaha mewartakan sebanyak mungkin kawasan hijau dan padang awam di ibu negara.
“Selain itu, satu lagi pasukan petugas diwujudkan bagi meneliti langkah mitigasi banjir termasuk proses pewartaan kolam takungan banjir bagi memastikan fungsi kawasan tersebut terus terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas majlis KLAF2026, di sini, hari ini.
Katanya, inisiatif berkenaan penting kerana kawasan hijau di Kuala Lumpur semakin bernilai dan menjadi antara aset utama yang menyumbang kepada kualiti hidup penduduk bandar.
Dalam perkembangan sama, Hannah berkata fokus pembangunan Kuala Lumpur ketika ini bukan lagi tertumpu kepada pembinaan bangunan pencakar langit semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada usaha menghidupkan lebih banyak ruang rekreasi untuk kegunaan seisi keluarga.
Beliau berkata, kerajaan telah melanjutkan waktu operasi 10 padang awam terbesar di Kuala Lumpur termasuk taman tasik bagi memberi peluang lebih luas kepada orang ramai menjalankan aktiviti riadah.
“Waktu pembukaan telah diawalkan dari jam 6 pagi kepada 5.30 pagi, manakala pada hari Jumaat dan Sabtu waktu penutupan dilanjutkan dari 10 malam kepada 12.30 tengah malam.
“Kita mahu keluarga mempunyai tempat yang sihat untuk keluar dan meluangkan masa bersama,” katanya lagi. -Astro Awani
