KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara agensi kerajaan, syarikat utiliti, pemaju dan institusi kewangan adalah penting untuk membuka peluang baharu serta mempercepat peralihan tenaga pada skala besar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata langkah itu sekali gus menekankan kepentingan tindakan kolektif untuk memajukan agenda kemampanan negara.
Menurutnya kejayaan penganjuran edisi kedua Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah pencapaian yang wajar dipuji memandangkan persidangan itu telah berkembang menjadi platform berwibawa yang menghimpunkan pemikir terkemuka dari seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea dan memacu kemajuan dalam sektor tenaga.
“Persidangan itu juga mencerminkan komitmen kukuh Malaysia untuk mempercepat peralihan tenaga, menandakan peralihan yang jelas, daripada matlamat kepada pelaksanaan ketika negara mempertingkat usaha ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan,” katanya semasa berucap pada ETCon26 di sini hari ini.
ETCon pertama dianjurkan pada 2023 bersempena Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Fadillah berkata setiap fasa penting dalam pembangunan Malaysia daripada program bekalan elektrik luar bandar dan perindustrian sehingga kepada transformasi digital, dapat direalisasikan berikutan negara memilih untuk melabur bukan sahaja dalam infrastruktur, malah dalam pembangunan insan, institusi dan matlamat bersama.– BERNAMA
