KUALA LUMPUR: Majlis penerbitan buku agama akan ditubuh dalam masa terdekat bagi mengukuhkan lagi industri penerbitan buku ilmiah Islam di Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Beliau berkata majlis itu, yang menghimpunkan ramai penerbit, akan berfungsi sebagai platform bagi meneroka peluang kerjasama, berkongsi idea dan mencetuskan gelombang baharu dalam industri penerbitan buku agama berimpak tinggi pada masa hadapan.
Zulkifli berkata penubuhan majlis itu tepat pada masanya susulan perkembangan positif industri berkenaan yang menyaksikan semakin banyak karya berkualiti dihasilkan oleh penerbit tempatan dan agensi hal ehwal agama di Malaysia.
“Pada masa yang sama, saya berhasrat supaya buku-buku kita dapat dieksport dan dipasarkan ke luar negara sama ada di rantau Asia Tenggara mahupun pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pavilion Baitul Hikmah MADANI dan pelancaran buku baharu terbitan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli.
Mengulas mengenai pelancaran buku baharu, Zulkifli berkata sebanyak 27 karya merentasi pelbagai tajuk dan kategori telah diterbitkan oleh agensi di bawah jabatan berkenaan.
Beliau turut mengajak rakyat memperkukuh budaya membaca bagi melahirkan masyarakat berilmu selaras dengan hasrat MADANI Membaca.
“Kita ingin mengajak seluruh rakyat supaya tidak hanya mendengar ceramah dan sebagainya tetapi juga menekuni karya serta buku ilmiah yang terbaik supaya dapat menambah keilmuan kita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata kerajaan akan sentiasa berusaha mengekalkan kos haji pada kadar terbaik meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi susulan krisis di Asia Barat.
“Kita sudah berjaya mengekalkannya untuk tiga tahun berturut-turut supaya kos haji tidak naik dan walaupun inflasi berlaku, kita cuba meneliti perkara ini,” katanya.– BERNAMA
