KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia sudah membuat bantahan keras terhadap tindakan rejim Zionis menahan 16 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, semalam.
Mereka adalah antara lebih 100 aktivis yang terbabit dalam misi aman menuju Gaza bagi membela kemanusiaan sejagat, selepas kapal yang dinaiki aktivis berkenaan dipintas di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
“Kita dah bantah keras,” katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di sini, hari ini.
Malam tadi, Ketua Pengarah Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Malaysia, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, dilaporkan berkata semua 16 rakyat Malaysia yang ditahan menaiki sembilan kapal, yang menjadi sebahagian daripada 15 yang dilaporkan dipintas dan diceroboh rejim Zionis.
Antara yang ditahan termasuklah Zainal Rashid Ahmad di atas kapal Amanda; Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella); Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus); S Patmanathan, Syakirin Muhamed Senin dan Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar (Ferluto) serta Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Josef).
Semalam, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan mengecam tindakan rejim Zionis yang memintas flotilla kemanusiaan Gaza dan menahan lebih 100 aktivis, termasuk 16 dari Malaysia.
Beliau berkata, tindakan kurang ajar rejim Zionis terhadap misi bantuan kemanusiaan itu dilihat bukan saja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah memperlihatkan kerakusan mereka.-BH Online
