Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA BERANG: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyeru institusi pendidikan tinggi di negara ini memainkan peranan dalam memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata selain sebagai pusat pengajian serta penyelidikan, KPT juga harus menjadi pemangkin pembangunan masyarakat melalui pengembangan ilmu, teknologi dan inovasi kepada komuniti.

Menurutnya, dalam konteks ini juga KPT terus memperkukuh agenda TVET, pendigitalan pendidikan serta pembangunan bakat masa hadapan bagi memastikan masyarakat, khususnya generasi muda dan komuniti luar bandar tidak tercicir daripada arus transformasi ekonomi digital negara.

Sehubungan itu beliau berkata, Program Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu (PKPT@T) anjuran KPT dengan kerjasama universiti, politeknik dan kolej komuniti merupakan satu wadah yang amat signifikan dalam membawa nilai tambah serta impak positif kepada komuniti setempat.

Katanya, PKPT@T bukan sekadar aktiviti turun padang atau program khidmat masyarakat semata-mata, tetapi merupakan pendekatan proaktif bagi memastikan kepakaran, teknologi, hasil penyelidikan dan inovasi institusi pendidikan tinggi dapat dimanfaatkan secara langsung dalam menangani isu serta cabaran komuniti.

“Melalui program kembara ini, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi menyantuni segenap lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak hingga warga emas. 

“Setiap pengisian dirancang secara teratur dan berfokus agar manfaatnya dapat disampaikan serta dirasai secara menyeluruh oleh komuniti setempat,” katanya ketika berucap merasmikan PKPT@T dan Program Kampung Angkat MADANI (PKAM), di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah KPT, Prof Datuk Dr Azlinda Azman, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Rozi Mamat.

Beliau berkata, selain itu PKAM juga merupakan satu inisiatif penting kerajaan yang mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan agenda pembangunan negara dapat dirasai secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi. 

Dr Zambry berkata, inisiatif ini amat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan komuniti berteraskan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Menurutnya, seiring dengan aspirasi tersebut, KPT komited membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang seimbang melalui usaha memperkukuh perpaduan, memperkasa komuniti serta menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan negara secara holistik. 

“Saya percaya pendekatan ini mampu memperkukuh hubungan dan kerjasama antara semua pihak, sekali gus mewujudkan ekosistem pembangunan komuniti yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha memperkasa pembangunan komuniti ini terus diperkukuh melalui penglibatan pelbagai agensi, rakan strategik dan pihak berkepentingan agar setiap inisiatif yang dilaksanakan dapat memberikan impak yang lebih menyeluruh dan berkesan. 

Menurutnya, KPT sentiasa menitikberatkan agenda pemindahan ilmu dan teknologi kerana ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat merupakan ilmu yang paling bernilai. 

Justeru, katanya, peranan mahasiswa turut diperkasakan sebagai agen perubahan sosial melalui penglibatan aktif dalam program komuniti dan kesukarelawanan yang mendekatkan mereka dengan realiti kehidupan masyarakat.

Tambahnya, KPT mahu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki nilai kepimpinan, sifat ihsan dan kepekaan sosial yang tinggi.

“Penyerahan Kampung Angkat MADANI pada hari ini bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi titik permulaan kepada hubungan jangka panjang antara institusi pendidikan tinggi dengan komuniti setempat.-BH Online