SERDANG: Lebih 50 peratus pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sudah memulakan kerja penyediaan tanah bagi fasa pertama penanaman padi tahun ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata perkembangan positif itu berlaku selepas kebimbangan sebelum ini apabila hampir 90 peratus pesawah di Kedah, termasuk di kawasan MADA, masih belum memulakan penanaman berikutan peningkatan kos operasi dan kekurangan bekalan air.
Mengikut jadual MADA, penanaman bagi Fasa Satu sepatutnya bermula pada 15 April lalu, diikuti Fasa Dua pada 29 April dan Fasa Tiga pada Rabu lalu.
“Lebih 50 peratus pesawah sudah mula membajak dan air juga sudah memasuki sawah walaupun paras takungan empangan belum mencapai tahap memuaskan.
“Penanaman akan bermula tidak lama lagi kerana lebih separuh sudah selesai membajak. Proses itu sedang berjalan ketika ini,” katanya selepas merasmikan program Hi-Tea Pitch & Connect @MAHA 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Mohamad berkata, kelewatan penanaman boleh menjejaskan kadar sara diri beras (SSR) negara, memandangkan Kedah adalah negeri pengeluar utama beras negara.
“Jika berlaku kelewatan, sudah tentu akan ada pengurangan. Faktor cuaca juga boleh menjejaskan jadual penanaman.
“Bagaimanapun, jika berlaku kekurangan SSR, insya-Allah kita ada usaha untuk menampung sebarang kekurangan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kelewatan berpanjangan dalam penanaman padi di Kedah boleh memberi kesan besar terhadap bekalan beras negara, dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) memberi amaran mengenai implikasi terhadap keterjaminan makanan negara.
Sementara itu, Mohamad berkata, penganjuran Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysi (MAHA) tahun ini yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September akan memberi fokus kepada pemodenan pertanian bagi menarik minat golongan muda menyertai sektor berkenaan.
Beliau berkata, pameran itu akan mengetengahkan teknologi seperti aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan dron untuk penaburan benih padi serta pengurusan tanaman termasuk inovasi dari luar negara.
“Tema tahun ini memberi fokus kepada pemodenan supaya generasi muda lebih terbabit dan berminat dalam bidang pertanian.
“Kita mahu tunjukkan bagaimana teknologi pertanian moden boleh meningkatkan hasil dan memberi manfaat kepada pemain industri,” katanya.
Mohamad berkata, kementerian menyasarkan tajaan antara RM10 juta hingga RM15 juta bagi penganjuran acara berkenaan.-BH Online
