GEORGE TOWN: Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal positif, disokong kemasukan pelaburan asing dan domestik, serta permintaan berterusan dalam sektor kecerdasan buatan (AI), pusat data dan semikonduktor.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tahun ini yang berkembang 5.4 peratus adalah lebih tinggi daripada unjuran awal 5.3 peratus sekali gus menunjukkan momentum ekonomi negara masih kukuh.
“Kita nampak pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk telah mula membina KDNK, pelaburan langsung domestik (DDI) dalam negara pun masih banyak yang masuk manakala perbelanjaan awam masih kuat.
“Ini ciri yang unik kerana kerajaan dalam kerangka Ekonomi MADANI bekerja kuat untuk memastikan enjin-enjin yang memacu ekonomi berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas melawat kemudahan Intel di Bayan Lepas, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke jajaran projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, tapak pembangunan Pulau Silikon dan mengakhiri lawatan itu di Intel bagi mendengar taklimat mengenai perkembangan terkini serta projek pengembangan syarikat itu di Pulau Pinang.
Amir Hamzah berkata kerajaan juga menumpukan kepada usaha menggalakkan pelaburan domestik, khususnya daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam negara yang semakin luas.
Beliau berkata usaha berlandaskan Ekonomi MADANI turut memberi penekanan kepada peningkatan pendapatan rakyat termasuk kenaikan gaji penjawat awam, pelaksanaan gaji minimum dan peralihan GLIC serta GLC daripada konsep gaji minimum kepada gaji kehidupan wajar.
“Saya rasa pemacu AI dan pusat data masih kukuh dan kita mempunyai ekosistem yang teguh di Malaysia, terutama di utara,” katanya.
Beliau berkata Malaysia sebagai negara perdagangan terus berjaya menarik minat pelabur, didorong ekosistem industri yang kukuh, trend digital, pusat data dan AI yang kekal berkembang.
Kerajaan akan terus membina ekosistem yang boleh mendorong kehadiran pelabur untuk bertapak dan berkembang sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada masa depan, katanya.
Amir Hamzah berkata pembangunan infrastruktur seperti pembesaran persimpangan Juru, naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan pelaksanaan LRT Laluan Mutiara akan memudahkan pergerakan pekerja, pelabur serta menyokong aktiviti industri di wilayah utara.
Beliau berkata kerajaan turut memberikan perhatian kepada kestabilan utiliti terutama bekalan elektrik dan air dengan talian penghantaran elektrik baharu oleh Tenaga Nasional Bhd berhampiran Jambatan Pulau Pinang telah siap.
Selain itu, projek bekalan air di daerah Kerian, Perak dijangka memberi manfaat kepada wilayah utara termasuk Perak serta Pulau Pinang, katanya.
Mengenai pengembangan Intel, beliau berkata projek termasuk komponen pembungkusan termaju itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor.– BERNAMA
