KOTA KINABALU, 17 Mei– Pendekatan tanpa stigma dan diskriminasi perlu terus diperkasa bagi memastikan penghidap HIV/AIDS dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti serta produktif dalam masyarakat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib menegaskan, persepsi negatif terhadap penyakit itu perlu diubah selaras dengan perkembangan rawatan moden yang semakin efektif.
“Masyarakat harus memahami bahawa HIV bukan lagi satu penyakit yang wajar dipandang dengan prejudis, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak.
“Penting untuk kita beri keyakinan kepada mereka agar berani tampil menjalani ujian dan mendapatkan rawatan tanpa rasa takut atau dipinggirkan. Dengan rawatan yang ada hari ini, mereka mampu menjalani kehidupan hampir normal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Minum Petang Red Ribbon Kota Kinabalu anjuran Malaysian AIDS Foundation (MAF), di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, majlis berkenaan berjaya mengumpul kira-kira RM400,000 yang akan disalurkan bagi menyokong program bantuan serta rawatan kepada penghidap HIV/AIDS di Sabah dan Sarawak.-Berita RTM
