Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU, 17 Mei – Usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam di Johor terus diperkasa apabila kerajaan meluluskan projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bernilai lebih RM10 bilion, yang disifatkan sebagai antara pelaburan infrastruktur terbesar di negeri itu bagi menyokong jaringan mobiliti masa depan termasuk RTS Link Johor Bahru–Singapura.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kelulusan projek berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan sistem pengangkutan awam di selatan tanah air terus moden, efisien dan bersepadu.

Menurut beliau, ART Johor Bahru bukan sekadar projek pengangkutan biasa, sebaliknya merupakan komponen penting dalam ekosistem mobiliti yang akan melengkapi perkhidmatan Transit Rapid System (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan projek berskala besar itu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia memerlukan kajian teknikal, penelitian impak serta perancangan menyeluruh bagi memastikan keberkesanan jangka panjang.

“Ini projek besar, jadi kita perlu ambil masa untuk teliti pelaksanaannya. Kita mahu pastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan sistem pengangkutan negara,” katanya kepada media sempena Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.

Sementara menunggu pelaksanaan ART, kerajaan turut merangka langkah interim bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan pergerakan penumpang RTS, termasuk penambahan perkhidmatan bas di sekitar Johor Bahru.

Selain itu, perkhidmatan KTM Komuter Selatan turut akan diperluaskan bagi menghubungkan Kluang dan Johor Bahru sebagai sebahagian usaha memperkukuh rangkaian rel di negeri berkenaan.

ART Johor Bahru yang dicadangkan sebelum ini dijangka merangkumi 32 stesen dengan jajaran lebih 50 kilometer, sekali gus berpotensi menjadi tulang belakang baharu sistem pengangkutan bandar tersebut.

Anthony berkata, semua perancangan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum pelaksanaan projek dapat digerakkan secara rasmi.-BERITA RTM