Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 17 Mei– Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-83 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Ahmad Zahid menzahirkan doa agar Tuanku Syed Sirajuddin sentiasa dikurniakan rahmat, kesihatan yang berpanjangan serta berada dalam lindungan Allah SWT.

“Patik mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dilimpahi rahmat, dikurniakan keafiatan berpanjangan serta berada dalam kesejahteraan dan lindungan Allah SWT. Daulat Tuanku,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Azri turut menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku Syed Sirajuddin yang mengurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P.) kepadanya, yang disifatkan membawa makna besar kepada dirinya serta warga perkhidmatan awam.

Beliau turut mendoakan agar Tuanku dikurniakan usia yang panjang, kesihatan yang baik serta kesejahteraan berterusan, selain mendoakan agar Raja Perempuan Perlis dan seluruh kerabat diraja turut dikurniakan kesejahteraan.

“Semoga DYMM Tuanku kekal memerintah negeri Perlis Indera Kayangan dengan adil dan saksama,” katanya.- BERNAMA