PUTRAJAYA: Tapak Perkhemahan Taman Wetland di sini, telah dinaik taraf dengan aspek keselamatan pengunjung terus menjadi keutamaan menerusi penyelenggaraan kemudahan secara berkala serta pengendalian aktiviti lasak oleh petugas bertauliah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata langkah itu diambil bagi memastikan pengunjung dapat menjalankan aktiviti rekreasi dan perkhemahan dalam keadaan selamat serta selesa.
“Operator dilantik Perbadanan Putrajaya (PPj) adalah operator berpengalaman yang telah diberikan hak untuk mengurus hal aktiviti perkhemahan dan juga semua aktiviti di sini.
“Staf yang ditempatkan oleh operator adalah bertauliah dan ada lesen. Maknanya dalam konteks keselamatan memang sentiasa diberi perhatian. Alat-alat sentiasa diselenggara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tapak Perkhemahan Taman Wetland di sini hari ini.
Hannah berkata antara aspek diberi perhatian di tapak perkhemahan yang dibangunkan di kawasan seluas 5,210 meter persegi itu ialah pencahayaan, kebersihan, penyelenggaraan tandas serta pemantauan keselamatan selaras dengan aspirasi menjadikan Putrajaya sebagai bandar raya hijau dan berdaya huni.
“Ada 48 khemah yang mampu menampung antara 120 hingga 200 pengunjung pada satu-satu masa. Dan kita tawarkan harga rahmah untuk dua hari satu malam iaitu RM30 pada Isnin hingga Khamis manakala hujung minggu atau cuti umum RM50,” katanya.
Hannah berkata pengunjung boleh menyewa khemah dan kelengkapan lain seperti kerusi, katil dan lampu selain menikmati pelbagai aktiviti riadah antaranya kenderaan lasak pelbagai permukaan (ATV), berbasikal, luncur tali, turun tebing serta meredah hutan.
“Kita juga ada luncur tali berkembar sepanjang 420 meter yang diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Longest Parallel Double Zip Line di Malaysia,” katanya.
Hannah berkata Taman Wetland Putrajaya menunjukkan peningkatan pengunjung yang konsisten dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini iaitu daripada 444,938 pengunjung pada 2023 kepada 473,602 pengunjung pada 2024, sebelum meningkat kepada 487,371 pengunjung tahun lepas.– BERNAMA
