CEBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Cebu, Filipina hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung sehingga esok.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Pangkalan Udara Mactan-Benito Ebuen kira-kira jam 1.50 tengah hari.
Ketibaan beliau disambut Setiausaha Kabinet Filipina yang juga Menteri Pengiring, Sharin S. Garin; Gabenor Cebu, Pamela Baricuatro serta Datuk Bandar Bandaraya Lapu-Lapu, Cynthia King Chan.
Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.
Selain menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48, Anwar turut dijadual menyertai Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) petang ini.
Sepanjang berada di Cebu, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan beberapa mesyuarat dua hala bersama pemimpin negara anggota ASEAN.
Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak kali ini mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh Kepusatan ASEAN, perpaduan serantau serta daya tahan ekonomi dan geopolitik rantau ini dalam suasana global yang semakin mencabar.-BH Online
