KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan tidak timbul cadangan untuk menukar Menteri Besar Negeri Sembilan biarpun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan perkara itu ketika diminta mengulas pendirian UMNO Negeri Sembilan yang tetap hilang kepercayaan kepada Aminuddin dan pada masa sama mengekalkan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.
“Tidak ada cadangan (untuk menukar Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang),” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Mengulas lanjut kemelut pentadbiran Negeri Sembilan susulan krisis membabitkan adat serta perlembagaan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menekankan bahawa semua pihak perlu menghormati undang-undang negeri berkenaan.
Justeru, beliau menasihati semua pihak agar tidak mencampuri urusan berkenaan dan membiarkan mereka yang berkenaan menyelesaikan masalah berbangkit.
“Pendirian bukan (UMNO) Negeri Sembilan saja tetapi juga pendirian kita yang bukan menolak, tetapi tidak mendukung selagi beliau (Aminuddin) campur tangan dalam undang-undang dan adat di Negeri Sembilan.
“Kita mahu supaya soal core ruler (pemerintah) di Negeri Sembilan antara Yang di-Pertuan Besar dengan Undang Yang Empat harus dihormati. Biarlah mereka menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Mengenai penganjuran Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) berkait isu semasa di Negeri Sembilan yang dihadiri pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan di Paroi, malam tadi, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa beliau tidak hadir kerana hadirin bukan penyokong BN.
Bagaimanapun, katanya, beliau meneliti rapat setiap inti pati ucapan pemimpin tertinggi PH pada ceramah itu.
“Majlis itu anjuran PH dan mereka telah memaklumkan kepada saya, manakala kumpulan sasarannya ialah parti serta ahli komponen PH. Jadi bukan soal jemput atau tidak dijemput, tetapi hadirinnya adalah crowd(khalayak) mereka (PH).
“Saya telah perhatikan bahawa dalam kalangan pemimpin atasan serta parti komponen PH, mereka sangat memahami judul perkara dan isu ini. Saya meneliti tiap-tiap ucapan mereka pada perhimpunan itu.
“Saya menghargai pemimpin utama PH pada peringkat Persekutuan dan negeri. Namun pada peringkat akar umbi, saya faham perasaan mereka mungkin tidak mendapat gambaran jelas mengenai apa yang saya nyatakan dan apa pendirian yang dibuat oleh UMNO serta BN,” katanya.-BH Online
