Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI, 1 Mei – Kerajaan Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 serta memantau rapat perkembangan terkini berkaitan aktivis yang terlibat, termasuk 10 rakyat Malaysia yang masih belum dikenal pasti lokasi mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya sentiasa mengikuti rapat perkembangan terkini melalui pusat kawalan misi serta bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan semua peserta terus diberi perhatian.

“Malah, kita telah menggerakkan masjid-masjid dan surau-surau mendoakan secara khusus melalui Qunut Nazilah dan juga solat hajat bagi mendoakan misi GSF 2.0 serta kesemua aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang kita tidak pasti keberadaan mereka.

“Di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga kita bergerak rapat dengan Global Sumud Flotilla dan rakan-rakan yang lain untuk meneruskan solidariti kita dengan rakan-rakan di Palestin, di Gaza dan kita sentiasa konsisten bersama dengan YAB Perdana Menteri, memberikan sokongan penuh terhadap misi dan juga bersolidariti dengan saudara kita di Gaza dan di Palestin,” katanya kepada media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara di sini.

Mengulas mengenai sokongan kepada keluarga peserta yang ditahan, beliau berkata, pihaknya sentiasa menilai keperluan semasa dan bersedia menyalurkan bantuan sewajarnya, termasuk daripada aspek kerohanian.

Beberapa agensi bawah jabatan itu telah bersiap siaga untuk digerakkan bagi membantu, selain meneruskan kerjasama sedia ada dengan pihak penganjur misi dan melihat keperluan secara khusus dari semasa ke semasa bagi memastikan sokongan terbaik dapat diberikan.-Berita RTM