KUALA LUMPUR : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju supaya Suruhanjaya Guru dibentuk dengan kadar segera bagi memartabatkan profesion perguruan negara.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO berkata, beliau sendiri akan membawa saranan ini yang diluluskan sebagai resolusi dalam Kongres Pendidikan Bumiputera ke mesyuarat Jemaah Menteri.
“Guru bukan sekadar penyampai silibus dalam bilik darjah, tetapi pembina manusia sejagat. Maka, kebajikan guru, latihan guru, beban tugas guru dan kemudian sekolah mesti menjadi keutamaan.
“Jangan sampai guru lebih banyak mengisi borang daripada mendidik murid-murid untuk bekerja,” katanya berucap pada majlis penutupan Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur., di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menerima resolusi yang diluluskan kongres. Ia disampaikan Pengerusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan kerajaan bersetuju mempertingkatkan kedudukan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara yang ada ketika ini kepada Suruhanjaya TVET Negara.
“Dalam pendidikan prasekolah, saya ingin menawarkan diri untuk menjadi pengerusi ‘High Level Committee’ pendidikan prasekolah untuk menyelaraskan pendidikan prasekolah.
“Mudah-mudahan apa yang kita capai tidak tinggal di atas kertas. Ianya mesti dibawa ke atas dan mesti dilaksanakan,” katanya.
Dalam ucapan sama, Ahmad Zahid juga menyenaraikan lima fokus pembaharuan yang perlu dipertimbangkan secara serius dalam menentukan hala tuju pendidikan negara.
Beliau berkata, selain sistem pendidikan pelbagai laluan, pendidikan prasekolah juga mesti diperluas.
“Pendidikan tidak bermula di universiti atau di sekolah menengah. Pendidikan bermula sejak awal usia. Jika asas anak lemah di peringkat awal, kita akan mengejar kelemahan itu sepanjang hayat.
“Sebab itu akses kepada prasekolah berkualiti mesti diperluas, khususnya di luar bandar, kawasan miskin bandar, pedalaman Sabah dan Sarawak serta komuniti rentan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata bagi fokus ketiga, Wakaf Pendidikan Bumiputera mesti diperkasakan bagi membantu pelajar miskin serta mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan tahunan kerajaan.
“Pendidikan memerlukan dana jangka panjang. Wakaf boleh menjadi jambatan antara kekuatan umat dengan masa depan bangsa,” katanya turut mahu profesion guru dimartabatkan sebagai antara fokus pembaharuan.
Fokus kelima, kata beliau hala tuju pendidikan Malaysia mesti jelas, bukan sekadar untuk mengejar ranking antarabangsa atau melahirkan pekerja kepada pasaran.
“Pendidikan tidak boleh terjerumus dengan keputusan politik sehingga menjadi beban. Hala tuju pendidikan negara mesti jelas, inklusif, progresif dan berteraskan nilai,” katanya.-Berita RTM
