Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan Pakej Daya Tahan Ekonomi dinamakan Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) sebagai sebahagian strategi bagi pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata program PACE bernilai lebih RM710 juta, akan dilaksanakan melalui empat inisiatif utama, yang membantu pekerja untuk terus berdaya saing.

Ia juga sebagai persediaan kepada pekerja yang bakal kehilangan pekerjaan untuk dilatih dengan kemahiran baharu, seiring permintaan dan keperluan industri terkini.

Perdana Menteri berkata, melalui PACE, kerajaan akan memperkukuh jaringan keselamatan melalui faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), khusus bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dan meningkatkan kebolehgajian mereka, dengan dana SIP lebih RM580 juta melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Kita mahu memastikan golongan belia dan kumpulan rentan sentiasa kompetitif dan produktif, justeru, kerajaan melalui HRD Corp memperuntukkan RM100 juta di bawah program HRD Yakin MADANI yang turut disokong MyFutureJobs bagi memudahcara penempatan pekerjaan.

“Bagi mempelbagai kemahiran dan memperkukuh perlindungan keselamatan sosial pekerja gig, kerajaan menyalurkan peruntukan RM20 juta kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) khusus untuk latihan kemahiran pekerja gig, terutama pekerja e-hailing dan p-hailing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2026 dengan tema “Pekerja MADANI Kesuma Negara” di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Menteri-Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Selain itu, bagi pemantapan bakat muda dan ketahanan perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan akan menyediakan Geran Padanan Latihan Industri bagi menyokong perusahaan dan syarikat pemula yang mengambil pelatih industri.

“Inisiatif ini akan dibiayai TalentCorp dengan peruntukan sebanyak RM10 juta,” katanya.-BH Online