KUALA LUMPUR: Kerajaan secara prinsip bersetuju untuk memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita, yang akan dibayar secara one-off.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu, yang akan membabitkan pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan EPCB adalah susulan hasil kajian Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) yang menunjukkan kemerosotan pengunduran kerjaya oleh golongan wanita, iaitu daripada tahap optimum 78.9 peratus bagi kategori berusia 25 hingga 29 tahun kepada 68.6 peratus bagi usia 35 hingga 39 tahun.
“Komitmen ‘maternity’ (bersalin) dipercayai adalah satu daripada faktor penyumbang kepada penurunan ini. Jadi, sebagai langkah progresif mengiktiraf peranan wanita dan ibu di negara kita, bersetuju untuk memperkenalkan elaun pasca cuti bersalin mengikut Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
“Elaun ini adalah bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari (sebulan) yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari.
“Hasratnya adalah kita tidak mahu seperti yang berlaku selama ini, ibu merasakan terpaksa berhenti dan meninggalkan lapangan pekerjaan. Ini cadangan kita untuk mengurangkan tekanan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2026 dengan tema “Pekerja MADANI Kesuma Negara” di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Menteri-Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan akan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluas kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Beliau berkata, secara purata, satu nyawa rakyat Malaysia hilang setiap minggu atau 54 kematian setahun dalam kalangan pekerja rentas sempadan, justeru perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) perlu diperluas kepada golongan ini.
“Ramai sekali yang bekerja tanpa perlindungan dan ini insya Allah akan memberi manfaat kepada 480,000 pekerja,” katanya.-BH Online
