Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sistem kamera litar tertutup (CCTV) bersepadu berskala besar dilengkapi perisian kecerdasan buatan (AI) membantu menyelesaikan 50 kes jenayah di ibu negara sejak penggunaannya bermula tahun 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, kos pengoperasian terkumpul sejak pemasangan 10,000 kamera di seluruh ibu negara setakat ini mencecah RM500 juta yang dioperasikan menerusi Pusat Kawalan dan Operasi Kuala Lumpur (KLCCC).

Katanya, perbelanjaan itu bagaimanapun dianggap satu pelaburan yang menguntungkan bukan sahaja dari sudut pencegahan malah berhasil membantu pihak polis menyelesaikan banyak kes jenayah di ibu negara termasuk menguruskan bencana banjir dan kesesakan lalu lintas.

“Mesej yang kita mahu sampaikan hari ini bahawa koordinasi mantap antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi perkongsian maklumat bagi membanteras jenayah.

“Paling utama kita mahukan Kuala Lumpur yang selamat bagi kanak-kanak, kaum wanita malah semua pengunjung selamat untuk ke mana sahaja di ibu negara,” katanya pada sidang media di Menara 1 DBKL, di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Dalam pada itu, Fadil berkata penggunaan sistem pintar itu membantu PDRM menjejaki pergerakan penjenayah menerusi kebolehan pengecaman wajah dan kenderaan menggunakan kamera beresolusi tinggi.

“Ini sebuah inisiatif terbaik. Degan 10,000 CCTV lengkap sistem AI kita percaya bahawa ianya amat membantu kepada PDRM. 

“Kita akan berkolaborasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk menjaga keselamatan Bandar Raya Kuala Lumpur secara keseluruhannya. 

“Ianya membantu dari segi siasatan seperti kebolehan pengecaman wajah, sistem amaran tingkah laku (mencurigakan), ini semuanya akan membantu kepada siasatan pihak polis.

“PDRM kita mengharapkan bahawa sistem ini akan ditambah baik dari sudut pengendaliannya, dari sudut teknologinya hingga membolehkan kita mengawal lalu lintas menggunakan sistem yang ada,” katanya. 

Fadil berkata, masalah lalu lintas pada waktu puncak adalah antara masalah utama dihadapi warga kota dan ketika ini PDRM hanya bergantung kepada polis trafik untuk mengendalikan lalu lintas secara manual.

Beliau berharap sistem CCTV bersepadu itu mampu mengesan kesesakan seterusnya menguruskan lalu lintas secara automatik sebagai contoh menggunakan teknologi AI untuk mengawal lampu isyarat berdasarkan jumlah kenderaan masa kini.

Sementara itu, Fadlun berkata, DBKL dan polis Kuala Lumpur akan terus bekerja sama dengan lebih efisien bagi memberikan perkhidmatan terbaik dan pantas kepada warga kota serta pengunjungnya.

“DBKL memperkukuhkan penyelarasan dengan PDRM demi keselamatan bandar. Pelaksanaan sistem CCTV bersepadu berskala besar yang menghubungkan keupayaan pemantauan, penguatkuasaan dan pengurusan bandar. 

“10,000 kamera dipasang dan diintegrasikan di lokasi strategik termasuk jalan utama, persimpangan, kawasan awam dan pusat komersial. 

“Sistem ini bukan sekadar merakam sebaliknya ia mengesan, menganalisis dan mencetuskan tindakan secara masa nyata, membolehkan respons antara agensi dibuat dengan lebih pantas dan selaras,” katanya. 

Fadlun berkata maklumat antara agensi sering terputus sebelum ini mengakibatkan masa tindak balas yang perlahan serta koordinasi atur gerak yang kurang efisien justeru jurang komunikasi itu ditutup menggunakan sistem bersepadu pintar ini.

Katanya, pelbagai insiden seperti kemalangan jalan raya, banjir, kesesakan lalu lintas dapat dikesan lebih awal sekali gus menghasilkan masa respon yang lebih singkat dan berkesan.

Mengulas lanjut Hannah berkata pelaksanaan sistem CCTV secara meluas dilihat tidak melanggar hak privasi mana-mana pihak berikutan ianya dipasang di kawasan awam sahaja.-BH Online