PUTRAJAYA: Hubungan diplomatik yang baik dimiliki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama negara luar diharap dapat memudahkan semua urusan membabitkan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Nusantara 2.0.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau turut berharap Kementerian Luar dapat segera menjalankan ikhtiar memastikan keselamatan rakyat Malaysia berkenaan.
“Insya-Allah saya akan meminta Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan tentunya hubungan yang baik antara Perdana Menteri dengan negara-negara sahabat, mungkin usaha diplomatik dapat diikhtiarkan.
“Bukan sahaja urusan menghantar bantuan ke destinasi dipermudahkan, malah memastikan rakyat kita yang ditahan, dapat dibebaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian dan Menyaksikan Majlis Pertukaran MoU Antara MyDigital ID Sdn Bhd dan Rakan Kerjasama Strategik, di sini hari ini.-BH Online
