Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Langkah pelarasan perbelanjaan mengurus tidak akan menjejaskan petugas barisan hadapan mahupun penyampaian perkhidmatan asas kepada rakyat kerana ia hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dalam kenyataan, beliau menegaskan sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan kekal menjadi keutamaan kerajaan, selaras komitmen memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Kementerian seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, khususnya di barisan hadapan perkhidmatan, akan terus menerima sokongan penuh seperti yang telah diluluskan.

“Ini termasuk memastikan hospital, sekolah dan perkhidmatan penting lain beroperasi tanpa gangguan,” katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan perlu memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara lebih berfokus.

“Penyelarasan ini membolehkan sumber disalurkan kepada keperluan lebih mendesak, terutama bagi membantu golongan dan sektor yang paling terkesan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan kerajaan mempunyai keupayaan kewangan mencukupi untuk bertindak sekiranya krisis berlarutan dalam tempoh panjang.

“Ketidaktentuan global ketika ini bukan bersifat sementara. Oleh itu, kita perlu bersedia dengan langkah realistik dan mampan supaya kerajaan kekal mampu memberi sokongan apabila diperlukan,” katanya.

Menurutnya, pelarasan perbelanjaan mengurus yang dilaksanakan ketika ini hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal dan merupakan sebahagian daripada usaha berdisiplin bagi memastikan negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi tekanan ekonomi global yang semakin mencabar.

“Perkara yang disemak semula ialah perbelanjaan yang boleh ditangguhkan tanpa menjejaskan penyampaian kepada rakyat. Perkhidmatan asas akan terus berjalan seperti biasa,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kementerian Kewangan telah menggariskan beberapa langkah pelarasan bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam, termasuk menangguhkan acara tidak mendesak, mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara, mengawal penggunaan utiliti, mengoptimumkan perbelanjaan agensi serta menangguhkan pengisian jawatan bukan kritikal.

Beliau berkata kementerian itu akan terus melaksanakan langkah secara proaktif dan sistematik untuk memperkukuh pengurusan kewangan negara, di samping memastikan keseimbangan antara keperluan semasa dan kestabilan jangka panjang.

“Pendekatan kita jelas – stabilkan bekalan, lindungi golongan terkesan, pastikan ekonomi terus bergerak, dan pada masa sama menjaga kedudukan kewangan negara supaya kekal kukuh dalam jangka panjang,” katanya.

Semalam, Kementerian Kewangan mengeluarkan panduan kepada kementerian serta agensi untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus, selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan peningkatan tanggungan subsidi.- Bernama