Usaha memperkukuh kelestarian perniagaan keluarga dan memperkasa wanita terus menjadi agenda utama apabila Persidangan Ke-3 Kelestarian Perniagaan Keluarga & Keusahawanan (FBSEC) 2026 melabuhkan tirainya, baru-baru ini.
Mengangkat tema From Legacy To Longevity: Sustaining Family Businesses Across Generations, persidangan itu bertujuan memberi inspirasi kepada perniagaan keluarga berbilang generasi agar terus mampan dan berdaya tahan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata acara itu membawa makna besar, khususnya dalam konteks perniagaan keluarga dan peranan majikan dalam membentuk masa depan yang lebih baik.
“Perniagaan keluarga kini semakin mendapat sambutan dan menunjukkan lebih ramai keluarga mula menceburi serta mengekalkan perniagaan secara turun-temurun.
“Jika dibandingkan dengan syarikat milikan individu, perniagaan berasaskan legasi keluarga ini dilihat lebih mampan kerana berteraskan komitmen jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan FBSEC 2026, baru-baru ini.
Pengukuhan tadbir urus
Nancy turut menegaskan, nilai yang diterapkan dalam perniagaan dan kehidupan awam memainkan peranan penting, selain kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha bersama semua pihak.
“Pencapaian hari ini adalah hasil kerjasama ribuan peserta serta sokongan ramai individu yang memberi inspirasi,” katanya.
Persidangan itu turut menjadi platform menyeru kepada pengukuhan tadbir urus, perancangan penggantian (succession planning) serta sokongan ekosistem bagi perusahaan milik keluarga.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur FBSEC, Saliza Abdullah, berkata perniagaan keluarga merangkumi sebahagian besar sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini.
“PKS memainkan peranan penting dalam memastikan ketahanan ekonomi negara. Justeru, pengukuhan penyelarasan dasar, struktur tadbir urus dan mekanisme perancangan penggantian adalah kunci bagi menjamin kelestarian jangka panjang,” katanya.
Antara pencapaian penting persidangan itu ialah pelancaran Anugerah Kelestarian Perniagaan Keluarga yang julung kali diadakan bagi mengiktiraf pemimpin perniagaan keluarga serta generasi pelapis yang menunjukkan kecemerlangan.-BH Online
