Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengurangan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel memberi implikasi kepada hasil kewangan negara, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada pertanyaan pemberita mengenai perkembangan terkini mekanisme penurunan cukai jalan kenderaan diesel.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta Kementerian Pengangkutan untuk meneliti mekanisme penurunan cukai jalan bagi mengurangkan kos sara hidup.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pihaknya terlebih dahulu perlu memperhalusi mekanisme bagi mengimbangi implikasinya kepada kantung kewangan kerajaan sebelum melaksanakan langkah itu.

“Kita masih meneliti bagi melihat bagaimana kita (boleh) mengurangkan cukai untuk kenderaan yang menggunakan diesel. Tetapi kita juga perlu membuat pengimbangan kerana bukan semua kereta diesel tak dapat subsidi. Ada sebahagiannya juga yang dapat subsidi melalui harga subsidi bersasar.

“Jadi kita perlu membuat pengimbangan itu untuk melihat bagaimana ia membantu mereka yang tidak mendapat subsidi supaya cukai (jalan) dapat dikurangkan untuk mereka. 

“Pada masa sama, apabila cukai dikurangkan ia juga memberi implikasi kepada hasil. Maksudnya hasil juga akan berkurangan kepada kerajaan. Ini semua perlu kita membuat pengimbangan terlebih dahulu sebelum keputusan mukatamad dapat dilaksanakan.

“Perdana Menteri sudah memberi mandat ini kepada kementerian. Maka kita akan membuat perbandingan kajian itu dengan segera dan harap dapat diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Readers Forum on the English Edition of Xi Jinping: The Governance of China, Volume V di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Perdana Menteri sebelum ini meminta Menteri Pengangkutan bersama Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu mencari langkah untuk menurunkan kadar cukai jalan kenderaan diesel.

Ia bagi membantu mengurangkan beban mereka yang menggunakan kenderaan diesel, susulan kenaikan harga bahan api itu yang tidak mampu ditangani kerajaan berikutan krisis Asia Barat yang masih berlarutan.

Mengikut statistik terdapat 1.8 juta kenderaan diesel direkodkan di negara ini, manakala kerajaan pula berdepan beban yang amat berat apabila perlu mengeluarkan dana tambahan RM7 bilion sebulan bagi menampung penyasaran subsidi RON95.-BH Online