Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: AirTrunk, syarikat platform pusat data hiperskala terkemuka di Asia Pasifik dan Asia Barat, akan meningkatkan pelaburan RM12 bilion lagi pada tahun ini, menjadikan pelaburan komited berjumlah RM27 bilion di Malaysia. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dimaklumkan sewaktu beliau menerima kunjungan hormat daripada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk Robin Khuda bersama delegasi, semalam.

Beliau berkata, kunjungan hormat itu turut melibatkan perbincangan yang menyentuh kemajuan semasa berhubung pembinaan pusat-pusat data AirTrunk di Johor dan rangka kerja lokalisasi untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai pusat data.

“Komitmen pelaburan ini amat dialu-alukan dan diyakini akan memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau yang berdaya saing, progresif dan berkeupayaan tinggi.

“Keputusan ini mencerminkan keyakinan pelabur, terutama syarikat-syarikat teknologi global akan kelebihan Malaysia sebagai rakan strategik tatkala kerajaan memperkemas dasar serta tahap kecekapan pembangunan dan operasi pusat-pusat data,” kata Anwar menerusi hantaran di platform X hari ini. – BERNAMA