Kuala Lumpur: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri enggan mengulas lanjut mengenai kes keganasan rumah tangga yang tular dan menggemparkan negara sebelum ini kerana menghormati prosedur undang-undang yang masih berjalan di mahkamah.
Bagaimanapun, Nancy menegaskan apa jua kes keganasan rumah tangga khususnya terhadap wanita menjadi keutamaannya dan kementerian kerana satu bentuk jenayah yang membimbangkan.
Beliau berkata, kementerian juga mengambil serius hal itu dan aktif mendekati masyarakat di peringkat akar umbi bagi meningkatkan advokasi menerusi pelbagai program termasuk berkaitan keselamatan.
“Kes masih di mahkamah jadi tak boleh nak cakap (mengulas lanjut).
“Apa pun kes keganasan rumah tangga memang merisaukan jadi kementerian akan melakukan program berbentuk fizikal bagi melindungi (mangsa) sebagai langkah untuk lebih agresif,” katanya ketika diminta mengulas mengenai langkah kementerian dalam membantu mangsa dilaporkan dalam kes tular dan menggemparkan negara.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas mengenai keganasan rumah tangga di sebuah hotel, dekat sini, hari ini.
Sidang media itu diadakan selepas beliau menghadiri satu mesyuarat bagi membincangkan cadangan yang akan diusulkan kepada pihak berwajib bagi menangani isu keganasan rumah tangga di negara ini.
Menurut Nancy Shukri berkata, cadangan dikemukakan itu adalah hasil perbincangan dengan agensi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran dan memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) juga kelemahan yang ada dalam undang-undang sedia ada.-HM Online
