KUALA LUMPUR: Bermula tahun hadapan, semua 58 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan ditempatkan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota beruniform yang dipilih melalui proses saringan ketat.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata bukan setakat itu saja, proses saringan itu juga akan mewajibkan calon warden menjalani latihan khusus bagi memahami Falsafah Pendidikan MARA.
Bagaimanapun, beliau berkata bermula Jun ini sebanyak 18 MRSM akan dimulakan terlebih dahulu dengan perkhidmatan warden ini, manakala tahun hadapan semua 58 MRSM akan ada warden yang melaksanakan tanggungjawab diberi.
“Ini susulan keberkesanan projek rintis dimulakan tahun lalu di MRSM Balik Pulau dan MRSM Besut di mana kesan daripada itu, MARA melihat tahap disiplin pelajar bertambah baik dan penurunan drastik kes-kes buli.
“Malah pelajar-pelajar begitu hormat kepada warden sepenuh masa ini kerana mereka dianggap seperti ibu dan bapa mereka di asrama.
“Saya melihat gabungan pendekatan antara ketegasan dan kasih sayang yang digunakan oleh warden-warden ini amat berkesan,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Ogos tahun lalu, media melaporkan MRSM memulakan projek rintis menempatkan warden bekas tentera di asrama pelajar sebagai inisiatif penting menangani keganasan dan buli di institusi itu.
Ia projek rintis enam bulan sebagai inisiatif penting menangani isu buli yang wajib dibanteras dan memutuskan rantaian ganasnya.
Hasil dapatan projek itu, kajian menyeluruh keberkesanan inisiatif itu akan dilakukan dengan kerjasama pihak ketiga iaitu Institut Kajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM).
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata dalam masa sama guru tidak perlu lagi terbeban dengan tugas warden, hanya fokus mengajar, mendidik dan kemenjadian pelajar.
“Hakikatnya, kita mengetahui bahawa guru tidak akan mampu memantau disiplin pelajar sepenuh masa dengan realiti tanggungjawab hakiki mereka untuk mengajar di waktu siang.
“Justeru pihak MARA akan keluarkan iklan tawaran dalam masa terdekat dan semua calon-calon akan melalui proses pemilihan yang ketat dan proses tapisan serta latihan supaya dapat menjiwai dan menghayati falsafah dan orientasi pendidikan MARA dan MRSM,” katanya.-BH Online
