PUTRAJAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) diperkasa dengan keupayaan analitik bagi membantu agensi kerajaan membuat keputusan lebih tepat, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi sehingga sekitar 70 peratus.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata bagi tahun ini, kerajaan memberi tumpuan kepada fasa pelaksanaan PADU dengan menjadikan platform itu sebagai sistem sokongan belakang atau ‘back-end’ kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan.
Katanya, selain fungsi pengesahan data yang sedia ada, PADU akan menawarkan perkhidmatan analitik bermula Mei ini bagi membantu agensi menilai maklumat secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, penggunaan analitik membolehkan keputusan dasar tidak lagi dibuat semata-mata berdasarkan anggaran, sebaliknya disokong data dan elemen statistik yang lebih tepat.
“Setakat Mac lalu, sebanyak 26 agensi dan jabatan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara lain telah diluluskan menggunakan PADU, manakala satu lagi permohonan baharu iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang dalam proses kelulusan yang dijangka diperoleh pada bulan ini,” katanya pada sidang media Hala Tuju PADU di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, PADU kini mempunyai 30.7 juta profil individu hasil integrasi maklumat daripada pelbagai agensi kerajaan.
Katanya, sistem itu menerima kira-kira 600 titik data secara berkala, sama ada secara masa nyata atau melalui kemas kini berjadual.
“Pendekatan ini membolehkan perkhidmatan awam dirancang secara lebih bersasar mengikut keperluan sebenar rakyat di sesuatu kawasan,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, sebelum ini, banyak agensi menggunakan PADU bagi tujuan pengesahan maklumat untuk bantuan, geran, biasiswa dan pinjaman.
Katanya, hasil penggunaan sistem berkenaan, ada agensi berjaya menjimatkan sekitar 70 peratus masa dan tenaga dalam proses semakan data.
“Kelebihan ini diperoleh kerana agensi tidak lagi perlu berhubung dengan banyak jabatan lain secara berasingan untuk mendapatkan maklumat,” katanya.
Beliau turut menegaskan, PADU akan terus diperkasa sebagai platform data bersepadu negara supaya penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih pantas, cekap dan berteraskan analitik.-BH Online
