KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak negara luar untuk menjadi rakan kongsi Malaysia dalam industri pertahanan kerana negara ini mengamalkan dasar berkecuali.
Perdana Menteri berkata, pendirian Malaysia itu sekali gus dapat mengekalkan hubungan negara ini menerusi kerjasama dengan semua rakan utama dalam industri berkenaan.
“Malaysia mengamalkan dasar berkecuali aktif, yang bermaksud kita mengekalkan hubungan kerjasama dengan semua rakan utama.
“Pembekal Malaysia boleh memasuki rantaian bekalan anda tanpa komplikasi politik yang menyukarkan keputusan sumber di tempat lain. Dalam keadaan semasa, ini adalah pertimbangan komersial yang penting.
“Asas industri pertahanan yang sedang kita bina ialah satu ekosistem di mana syarikat Malaysia mampu memperoleh dan mengekalkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan antarabangsa berdasarkan keupayaan serta kualiti kerja mereka.
“Disiplin yang membolehkan kontrak dimenangi juga harus memastikan kontrak itu kekal. Itulah satu-satunya asas yang wajar dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pembukaan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di MITEC, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, faktor yang meletakkan pengeluar Malaysia dalam rantaian bekalan komersial paling mencabar di dunia adalah sama relevannya dengan negara lain.
Dalam kalangan pemain industri aeroangkasa dan pertahanan, beliau berkata Malaysia menggarap budaya ketepatan dan akauntabiliti yang memenuhi kehendak pembeli komersial yang paling teliti.
Dalam konteks mencakupi peranan kerajaan pula, beliau komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif serta bertanggungjawab memastikan asas atau ekosistem yang menyokong keputusan berkualiti tinggi.
“Dalam kebanyakan platform, ia membabitkan disiplin yang sama, dilaksanakan oleh tenaga kerja yang sama dan di fasiliti yang sama.
“Oleh itu, kepada kontraktor utama dan pembekal Tier 1 di sini (NATSEC) datanglah mengenali pengeluar kami. Luangkan masa bersama mereka.
“Sebahagian daripada anda telah pun melakukannya dan saya menggalakkan yang lain untuk mempertimbangkan dengan serius,” katanya.-BH Online
