KUALA LUMPUR: Konflik di Asia Barat kini menggoncang pasaran global, meningkatkan harga tenaga dan menyebabkan pengaliran keluar modal dari beberapa pasaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dunia ketika ini berada pada satu ketika di mana geopolitik sedang membentuk semula keputusan rantaian bekalan termasuk implikasinya terhadap kos atau keupayaan kejuruteraan.
Namun dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beliau berkata, dana global membeli lebih daripada AS$2 bilion bon Malaysia, iaitu aliran masuk tertinggi dalam tempoh sepuluh bulan.
“Ringgit adalah mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut. Ekonomi kita berkembang sebanyak 5.2 peratus tahun lalu.
“Malaysia juga sudah menarik tahap pelaburan yang mencatat rekod, didorong oleh sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.
“Semua ini tidak berlaku tanpa usaha. Kita berusaha secara berterusan melaksanakan pembaharuan dasar serta mengekalkan pembabitan rapat dengan syarikat dan pengurus dana, yang mempunyai banyak pilihan mengenai lokasi pelaburan dan operasi pembuatan mereka. Usaha ini akan diteruskan dengan penuh disiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pembukaan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di MITEC, hari ini.-BH Online
