Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Pampasan kepada mangsa jenayah menerusi penubuhan tribunal khas boleh juga dalam bentuk kerja sosial dan tidak semestinya hanya kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, perbahasan umum mengenai isu pampasan berkenaan dilihat lebih bertumpu kepada bentuk kewangan.

Bagaimanapun, katanya, pampasan itu perlu dilihat dengan lebih meluas terutama jika membabitkan orang perseorangan serta tahap kemampuan pihak berkenaan.

Beliau berkata, keadaan berbeza jika ia membabitkan sesebuah organisasi yang dipertanggungjawabkan dengan ganti rugi yang dianugerahkan kepada keluarga mangsa kerana ia boleh termasuk dalam pakej hukuman yang dikenakan.

Namun, katanya, beliau turut melihat ada reaksi orang awam yang melihat pampasan dalam bentuk kewangan membabitkan pesalah perseorangan mungkin tidak adil jika pesalah itu tidak berkemampuan untuk membayarnya.

“Bagi saya, isu pampasan ini bagi Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Jenayah kita lihat pada aspek ini (takrifan pampasan) secara meluaslah. 

“Sebagai contoh saya ada sebut mengenai ‘corporate manslaughter’ yang saya sebut untuk kes terdahulu membabitkan pemandu bas yang cuai. 

“Kita mahukan supaya syarikat bertanggungjawab dan bila syarikat bertanggungjawab, takkan kita nak syarikat masuk penjara,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ruang Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice on Wheels (JoW) dan pentauliahan pegawai pengantara Jabatan Bantuan Guaman, di sini, hari ini.

Azalina diminta mengulas mengenai laporan media semalam Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti cadangan penubuhan tribunal khas bagi tuntutan pampasan kepada keluarga mangsa jenayah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata cadangan berkenaan memerlukan kajian terperinci bagi memastikan keberkesanannya dari segi pelaksanaannya, jika direalisasikan kelak.

Azalina berkata, apa yang disebutkan oleh Peguam Negara adalah tribunal yang dicadangkan itu memerlukan sedikit penyesuaian, berikutan jenis pampasan berkenaan tidak semestinya dalam bentuk kewangan.

Katanya, ia seperti yang dilakukan di beberapa negara yang menetapkan pampasan tidak semestinya dalam bentuk bayaran denda sebaliknya boleh juga dalam bentuk kerja sosial.

Sebelum ini, BH melaporkan cadangan penubuhan tribunal khas itu oleh beberapa pihak mahukan pampasan diberi kepada keluarga mangsa maut akibat jenayah termasuk kemalangan.

Dusuki sebelum ini, dilaporkan berkata, AGC akan mengeluarkan arahan mewajibkan semua Timbalan Pendakwa Raya meneliti serta memfailkan permohonan pampasan terhadap keluarga mangsa jenayah, termasuk kematian disebabkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh alkohol.-BH Online