KUALA LUMPUR: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia tidak boleh sekadar bertahan ketika ketegangan geopolitik global terus mencetuskan ketidaktentuan rantaian bekalan dan pasaran antarabangsa, sebaliknya perlu bertindak agresif merebut peluang baharu yang muncul daripada perubahan landskap ekonomi dunia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong, berkata konflik geopolitik yang melanda beberapa rantau dunia sebenarnya membuka ruang strategik kepada pemain PMKS tempatan untuk menembusi pasaran alternatif dan mengukuhkan kedudukan dalam rantaian bekalan global.
“Dalam setiap krisis, pasti ada peluang. PMKS tidak boleh melihat konflik geopolitik semata-mata sebagai ancaman, tetapi perlu bijak menyesuaikan strategi perniagaan dan merebut ruang yang terhasil daripada gangguan pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sidang media Pengumuman Prestasi Kewangan dan Dividen Kumpulan Bank Rakyat Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2025.
Turut hadir Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff.
Mengulas lanjut, Chee Keong berkata, perubahan aliran perdagangan akibat konflik telah mendorong banyak syarikat antarabangsa mencari rakan pembekal baharu yang lebih stabil dan berdaya tahan satu peluang yang perlu dimanfaatkan oleh PMKS Malaysia.
Beliau berkata, sektor seperti agromakanan, pembuatan ringan dan perkhidmatan digital mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam situasi semasa, khususnya apabila permintaan terhadap sumber alternatif meningkat di peringkat global.
Dalam masa sama, katanya, PMKS perlu memperkukuh daya saing dengan meningkatkan kecekapan operasi, mempercepat adaptasi teknologi serta mematuhi piawaian antarabangsa bagi memastikan mereka mampu bersaing di pentas global.-BH Online
