Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan komitmen RM5 juta bagi tempoh tiga tahun untuk memacu pertumbuhan ekonomi inklusif di ibu negara menerusi inisiatif Moving KL Forward – Kita Bagi Jadi bersama DBKL x CIMB.

Kerjasama itu bertujuan menyokong perniagaan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), melalui pengadaptasian digital serta memperkasa industri kreatif tempatan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi di ibu negara.

Di bawah kerjasama berkenaan, beberapa siri program akan dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu menggalakkan penggunaan digital dalam kalangan PMKS bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing, serta mengaktifkan ekonomi kreatif menerusi penganjuran acara kebudayaan, festival dan inisiatif seni awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta itu mencerminkan usaha bersama dalam menjana hasil ekonomi yang lebih bermakna kepada rakyat.

“Selain pembangunan fizikal, keutamaan adalah memastikan pertumbuhan yang inklusif, berteraskan rakyat dan mampan, di mana lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada kemajuan bandar,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Fadlun Mak Ujud dan Pengerusi CIMB Group, Datuk Syed Zaid Albar.

Yeoh berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi tempoh tiga tahun sebagai permulaan, dengan potensi untuk diperluaskan sehingga RM150 juta pada masa hadapan.

“Ini baru permulaan kerjasama dan kita melihat lebih banyak peluang untuk diperluaskan bersama DBKL. Kejayaan program tidak diukur melalui sasaran khusus buat masa ini, sebaliknya berdasarkan sambutan dan maklum balas orang ramai.

“Selagi orang ramai menikmati program yang dianjurkan, datang dan terlibat dalam aktiviti, kita percaya objektif telah tercapai kerana matlamatnya adalah untuk menghidupkan bandar ini,” katanya 

Sementara itu, Fadlun berkata kerjasama ini menggabungkan keupayaan kedua-dua pihak dalam menyediakan peluang kepada bakat dan usahawan tempatan untuk berkembang, di samping mewujudkan bandar yang lebih rancak dari aspek ekonomi.

Syed Zaid dalam ucapannya pula berkata inisiatif Moving KL Forward yang dilaksanakan bersama DBKL merupakan satu kerjasama yang amat bermakna antara sektor swasta dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha menghidupkan semula Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang dinamik dan berdaya saing.

“Ke hadapan, kami melihat Kuala Lumpur sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta. Inisiatif Moving KL Forward akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan seni, budaya dan warisan, di samping memperkasa masyarakat serta memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan,” katanya.

Kerjasama itu turut merangkumi empat fokus utama iaitu kebudayaan, keprihatinan sivik, kesejahteraan dan perniagaan, termasuk mempromosikan acara seperti Festival Orkestra Kuala Lumpur, Konsert Ambang Merdeka, Rockestra Legenda dan KUL Design Festival.

Program dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung setiap tahun, sekali gus menyumbang kepada aktiviti ekonomi serta mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama seni dan kebudayaan.

Sebagai permulaan, CIMB akan menganjurkan konsert Moving KL Forward – Kita Bagi Jadi bersama DBKL x CIMB pada 16 dan 17 Mei ini di Panggung Anniversari yang terbuka kepada orang ramai.

Selain itu, kerjasama berkenaan turut melibatkan pemasangan hasil seni di lokasi tumpuan utama termasuk mural di sepanjang Sungai Gombak serta penggunaan aset digital DBKL bagi menggalakkan pembudayaan kreativiti dalam persekitaran bandar.

Dalam perkembangan berkaitan, CIMB turut memperuntukkan RM3.6 juta bagi menyokong kira-kira 9,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi inisiatif Santuni MADANI, selain melaksanakan program iTEKAD bagi membantu meningkatkan pendapatan kumpulan sasaran seperti penghantar makanan, pesawah dan usahawan agro.-BH Online