Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese, dengan menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala serta menangani cabaran keselamatan tenaga yang semakin meningkat pada ketika ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat.

Pertemuan itu diadakan sejurus selepas Albanese diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, bersempena lawatan rasmi tiga harinya ke Malaysia dari 15 hingga 17 April.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan konflik di Asia Barat serta kesan limpahannya terhadap pasaran tenaga global, khususnya potensi gangguan kepada rantaian bekalan tenaga dan laluan perdagangan antarabangsa yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi serantau.

Mereka juga dijangka bertukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama dalam keselamatan tenaga, termasuk memastikan kestabilan bekalan, memperkukuh daya tahan infrastruktur serta meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi bersih.

Pertemuan empat mata itu akan disusuli dengan mesyuarat dua hala, melibatkan menteri kanan dan pegawai dari kedua-dua negara, bagi menilai kemajuan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Australia (CSP) yang diwujudkan pada tahun 2021.

Australia kekal sebagai rakan ekonomi penting bagi Malaysia, menduduki tempat ke-12 sebagai rakan dagang terbesar pada tahun 2025, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (AS$18.38 bilion). -BH On nline