Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Kementerian Kesihatan (KKM) merancang pembangunan beberapa infrastruktur kesihatan di Melaka di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK) bernilai RM1.8 bilion.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara pembangunan infrastruktur berkenaan ialah Hospital Berpakar Jenis 2 membabitkan keluasan 24.2 hektar yang melibatkan anggaran kos sebanyak RM875 juta di Ayer Keroh, di sini.

“Hospital berkenaan akan menyediakan 400 katil serta memfokuskan perkhidmatan Kardiologi, Kardiotorasik, Neurosurgeri dan Ambulatory Care Centre (ACC).

“Selain itu, (pembangunan lain) ialah menyegerakan pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak (WCC) Hospital Melaka berkapasiti 476 katil dengan kos RM697 juta yang kini dalam proses tender bagi menyelesaikan isu kapasiti di hospital berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dr Husnina Ibrahim.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata KKM juga merancang untuk meroboh dan membina semula Klinik Kesihatan Jasin (Jenis 2) dan Kompleks Kesihatan Bersepadu Daerah (KKBD) Jasin dengan anggaran kos sebanyak RM126.99 juta.

Beliau berkata projek berkenaan juga meliputi pembinaan Pejabat Kesihatan Daerah Jasin yang baharu.

Selain itu, katanya, KKM akan memohon kelulusan Butiran Kerja Awalan di bawah RP2 RMK13 bagi Klinik Kesihatan Bukit Katil (Jenis 2) dan projek yang dianggarkan bernilai RM50 juta itu bakal menjadi Pusat Rujukan Kesihatan serba lengkap bagi menampung kepadatan lebih 80,243 penduduk menjelang 2030.

“KKM juga akan memohon kelulusan Butiran Kerja Awalan di bawah RP2 RMK13 bagi Klinik Kesihatan Duyong (Jenis 2) dengan projek dianggarkan bernilai RM50 juta ini bertujuan menampung operasi di Klinik Kesihatan Ujong Pasir yang sedang berdepan cabaran kekangan ruang yang amat kritikal.

“Usaha ini menunjukkan komitmen penuh Kerajaan Perpaduan dalam memastikan ekosistem kesihatan di Melaka terus berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau turut meluluskan peruntukan khas berjumlah RM6 juta bertujuan menyelesaikan isu baik pulih dan naik taraf fasiliti serta keperluan segera aset perubatan dan bukan perubatan di enam fasiliti yang dilawatinya.

Enam fasiliti kesihatan tersebut ialah Klinik Kesihatan Durian Tunggal, Klinik Kesihatan Jasin, Hospital Jasin, Klinik Desa Bukit Katil, Hospital Melaka dan Hospital Alor Gajah.

“Saya berharap agar kelulusan peruntukan segera ini serta perancangan jangka panjang berkenaan dapat memberikan keselesaan kepada pesakit dan juga memudahkan urusan petugas kesihatan,” katanya.

Dalam lawatan kerjanya ke Melaka juga, Dr Dzulkefly turut berkesempatan menyempurnakan Majlis Perasmian Klinik Pergigian Bergerak di Klinik Kesihatan Jasin dalam memastikan kemudahan sokongan luar itu dapat memastikan capaian kesihatan pergigian lebih meluas kepada komuniti setempat.— BERNAMA