TINDAKAN Syed Saddiq Abdul Rahman yang lantang bersuara mengenai keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) 47 kes membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disifatkan ibarat ‘memilih bulu’.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Muar itu berdiam diri, tidak mengulas banyak kes yang melibatkan pemimpin Umno lain yang menang di mahkamah selepas didakwa oleh Peguam Negara lantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, Razlan membidas pemimpin parti Muda itu yang memilih Ahmad Zahid sebagai sasaran dan menuduh Peguam Negara digunakan sebagai perisai kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes melibatkan Presiden Umno itu.
“Terdapat 18 pemimpin Umno didakwa oleh Thommy Thomas dan kesemuanya menang diputuskan dalam mahkamah. Ada juga kes-kes diselesaikan di luar mahkamah kerana kekurangan bukti.
“Syed Saddiq masih berhadapan kes pecah amanah duit parti, ketika itu Tan Sri Muhyddin Yassin adalah Perdana Menteri, adakah Syed Saddiq menuduh Muhyiddin mengarahkan Peguam Negara ketika itu campur tangan mendakwa beliau dan beliau kononnya bersih sebelum mahkamah membuat keputusan?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Razlan berkata, Syed Saddiq sepatutnya memahami fakta kes yang dikenakan terhadap Ahmad Zahid.
“Baca fakta kes yang dikenakan terhadap Zahid, beliau dikenakan pendakwaan kerana tidak ikut telunjuk Tun Mahathir, beliau didakwa kerana pertahankan Umno.
“Sebahagian pemimpin Umno yang tidak dengar kata Tun Mahathir telah didakwa dan ramai pemimpin Umno terlepas kerana melompat parti, tidak kurang yang ada perjanjian bersama Tun Mahathir untuk melemahkan Umno dari dalam,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan Datuk Dr Radzi Jidin yang dihalau keluar dari Dewan Rakyat setelah berterusan mengganggu perbahasan Perdana Menteri semalam, Razlan berkata, ianya jelas menunjukkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) tidak teragak-agak menggunakan kuasa untuk mempergunakan sistem perundangan sebagai senjata melemahkan lawan.
Katanya, Perdana Menteri menyatakan Ahli Parlimen Putrajaya itu juga tahu dan buat perkara zalim itu semasa beliau menjadi orang Muhyiddin, namun tindakan barisan pembangkang keluar meninggalkan Dewan Rakyat bersama Dr Radzi membuatkan rakyat boleh berfikir akan kebenaran kenyataan Perdana Menteri itu.
“PMX tidak mahu teriibat dalam kerosakan yang telah dibuat dan dan terima kasih kepada Peguam Negara yang berjaya perbetulkan keadaan sebelum menamatkan perkhidmatan,” katanya.
Semalam Dewan Rakyat kecoh kira-kira 30 minit apabila Perdana Menteri cuba menerangkan mengenai respon beliau terhadap keputusan DNAA Ahmad Zahid.
Anwar menuduh perkara sama turut dilakukan kerajaan terdahulu, namun beliau tidak menerangkan dengan lebih terperinci.
“(Ahli Parlimen) Larut ada tanya, bila Peguam Negara membuat keputusan, saya tanya apa alasan dia, (Peguam Negara) bagi 11 alasan macam yang dia berikan.
“Saya minta penjelasan, Putrajaya kenapa ketawa, masa pentadiran kamu pun buat benda yang sama,” katanya di Dewan Rakyat.
Perkara itu menyebabkan Radzi berang dan meminta Anwar menarik balik kenyataan tersebut. –Media Perpaduan