KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Jawatankuasa Khas di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan meneliti sebarang isu berbangkit, khususnya melibatkan sektor digital yang berpotensi terjejas susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata mesyuarat mingguan MTEN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, akan menilai potensi kesan konflik serta merangka langkah penyelesaian yang bersesuaian.
“Kita akan lihat isu ini dengan lebih mendalam, tentusahkan dan pastikan langkah yang perlu diambil bagi memastikan kita bersedia sekiranya berlaku sebarang perkara yang perlu diuruskan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Standard Chartered Global Fusion Centre di sini, hari ini.
Terdahulu, ketika berucap, beliau berkata mesyuarat itu akan menghimpunkan kementerian utama serta pihak berkepentingan industri bagi menyelaras tindak balas, selain memperkukuh daya tahan ekonomi dan memastikan kelangsungan kehidupan rakyat serta perniagaan terus terpelihara.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan kekal komited terhadap kestabilan, sikap berwaspada dan libat urus konstruktif, sambil memelihara kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Standard Chartered melancarkan Global Fusion Centre pertamanya di Malaysia bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai ekosistem bakat kukuh dan hab teknologi strategik utama bagi kumpulan itu.
Menerusi kenyataan, bank berkenaan memaklumkan pusat yang terletak di hab Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) itu menyepadukan analisis masa nyata serta sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan daya tahan operasi, selain memperkukuh kepercayaan digital dalam kalangan pihak berkepentingan.-BH Online
