Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius kesan krisis tenaga global terhadap industri, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor kesihatan yang kini berdepan tekanan kos dan cabaran kesinambungan bekalan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata keutamaan kerajaan bukan sekadar meredakan tekanan jangka pendek, tetapi juga memperkukuh ketahanan bekalan sedia ada selain melaksanakan perubahan struktur ekonomi secara bertanggungjawab.

“Semua ini perlu dilakukan dengan mengambil kira kedudukan fiskal negara yang sedang menanggung subsidi minyak yang tinggi. Matlamat kerajaan jelas iaitu mengurangkan beban industri, melindungi pengguna akhir dan memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.

“Kurangkan tekanan industri, lindungi pengguna dan perkukuh daya tahan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan bersama Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri (PMAC) meneruskan sesi libat urus dengan industri yang terkesan akibat krisis tenaga global, dengan tumpuan kepada PMKS serta sektor kesihatan.

Sesi itu disertai SME Corp Malaysia, Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) serta SME Association of Malaysia.

Wakil industri kesihatan pula terdiri daripada Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (Perantim), Malaysian Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI).

Libat urus berkenaan memberi ruang kepada industri membentangkan kesan langsung krisis tenaga global terhadap operasi perniagaan, termasuk peningkatan kos input, tekanan rantaian bekalan serta cabaran mengekalkan daya saing dan kesinambungan operasi.

Beliau berkata industri kesihatan turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kos yang boleh menjejaskan rantaian bekalan produk dan perkhidmatan kesihatan penting.

“Kerajaan memandang serius perkara ini, khususnya kesan terhadap PMKS yang lebih mudah terdedah kepada kejutan kos dan gangguan bekalan.

“Sehubungan itu, pendekatan yang dipertimbangkan bukan sahaja bertujuan menangani tekanan semasa, tetapi juga memanjangkan ketahanan bekalan serta memperkukuh keupayaan ekonomi negara menghadapi tekanan luaran secara lebih tersusun dan mampan,” katanya.

Dalam merangka langkah seterusnya, beliau menegaskan kerajaan perlu bertindak secara seimbang dan berhemat dengan mengambil kira kedudukan fiskal negara, khususnya dalam keadaan tanggungan subsidi minyak yang tinggi.

“Justeru, sebarang intervensi perlu bersasar, berimpak dan mampu mengurangkan tekanan kepada industri tanpa memindahkan beban kepada pengguna akhir,” katanya.

Kerajaan kekal komited memastikan kelangsungan perniagaan, kestabilan bekalan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, di samping memastikan negara mempunyai ruang tindak balas mencukupi untuk mengurus tekanan global serta melaksanakan perubahan struktur ekonomi bagi memperkukuh daya tahan jangka sederhana dan panjang.-BH Online