Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seramai 70 orang jemaah Malaysia dilaporkan selamat selepas Hotel Mira Ajyad di Mekah yang didiami mereka dilaporkan terbakar dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam waktu tempatan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah juga telah berkoordinasi dengan pihak berkuasa Arab Saudi berkaitan serta agensi pelancongan umrah Malaysia selepas menerima maklumat awal kejadian itu.

“Maklumat awal menunjukkan kira-kira 70 orang jemaah Malaysia di bawah kelolaan TH Travel,
Zahafiz Travel dan Rayhar Travel menginap di hotel tersebut. Ketiga-tiga agensi tersebut telah mengesahkan bahawa semua jemaah Malaysia di bawah pengurusan mereka berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, menerusi pemeriksaan susulan dijalankan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah kira-kira pukul 7.20 malam waktu tempatan, beberapa jemaah Malaysia juga dilihat berkumpul dengan selamat di sekitar kawasan hotel.

“Pada peringkat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa Arab Saudi. Berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini, tiada petunjuk bahawa insiden tersebut berpunca daripada serangan dron atau sebarang unsur sabotaj.

“Atas faktor keselamatan, tetamu tidak dibenarkan kembali ke bilik masing-masing sementara siasatan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Kata Wisma Putra, sekiranya terdapat kelewatan mendapatkan kebenaran kembali ke hotel, pihak pengurusan hotel bersama agensi pelancongan masing-masing akan mengatur penginapan sementara kepada tetamu terjejas.

“Kementerian Luar Negeri, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau situasi ini dengan rapat.

“Kami akan kekal berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan
Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya

Katanya, jemaah Malaysia yang kini berada di Makkah dinasihatkan supaya kekal tenang dan patuhi arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan serta agensi pelancongan masing-masing. – KOSMO! ONLINE