PUTRAJAYA, 5 Mac –Semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa untuk mempercepat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan kerja serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, AI merupakan medium penting yang membolehkan pegawai melaksanakan tugasan dengan lebih pantas dan sistematik.
“AI generatif ini sebenarnya masih baharu sekitar dua hingga tiga tahun sahaja berkembang secara pesat. Jadi kita masih belum terlalu jauh ketinggalan,
“Dengan AI, kita dapat menghasilkan first draft laporan atau siasatan secara automatik, mempercepatkan proses, dan meningkatkan produktiviti. Namun, pegawai tetap menjadi pemutus akhir, memastikan keputusan dan tindakan bersifat manusiawi dan tepat,” kata beliau ketika berucap pada perhimpunan bulanan KDN di Putrajaya.
Selain itu, Datuk Seri Saifuddin turut menekankan kepentingan latihan awal dan pendedahan pegawai kepada teknologi baharu.
Saifuddin Nasution berkata penggunaan AI merupakan satu keperluan baharu dalam pentadbiran moden dan KDN telah memulakan langkah awal menerusi inisiatif “AI for KDN, KDN for AI” sejak dua tahun lepas.
Selain itu, pegawai akan dihantar ke kursus dan universiti tempatan bagi membina kemahiran asas AI, sebelum mengaplikasikannya dalam tugasan harian.
Beliau juga menyarankan pegawai agar lebih berani mengambil peluang, dan menggunakan inovasi teknologi untuk memacu KDN ke hadapan.-Berita RTM
