Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempergiat usaha menangani isu kesihatan dan kesejahteraan belia di seluruh negara.

Fokus merangkumi pencegahan penyakit berjangkit, sokongan psikososial, pembangunan sahsiah, dan kepimpinan generasi muda.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, kementerian memberi penekanan kepada terhadap langkah pencegahan awal, advokasi kesihatan, serta pengukuhan sokongan komuniti bagi memastikan golongan belia memperoleh maklumat, bimbingan dan persekitaran yang kondusif.

“Belia cenderung menjauh jika bantuan dilihat terlalu klinikal atau formal. Oleh itu, pendekatan rakan sebaya digerakkan melalui inisiatif seperti Projek Dengar Rakan Muda, menyediakan ruang selamat untuk belia berkongsi isu serta mendapatkan sokongan emosi dengan bimbingan kaunselor dan sukarelawan terlatih,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara.

Projek Dengar Rakan Muda dilancarkan pada 25 Oktober 2025 di Kuala Lumpur dan diadakan setiap Sabtu minggu pertama.

Program berkenaan dijangka diperluas ke fasiliti belia di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bermula tahun depan.

Selain itu, KBS turut menggalakkan amalan ghaya hidup aktif menerusi penganjuran Liga Sukan Komuniti, Malaysia Aktif @ Komuniti dan Hari Sukan Negara bagi membudayakan hidup sihat serta mengurangkan tingkah laku berisiko dalam kalangan belia.

Dalam masa sama, kerjasama rentas agensi juga diperkukuh, termasuk Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melalui 54 siri program di 18 Pusat KafeTEEN, serta 45 siri program bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi belia berisiko tinggi.

“Kementerian Kesihatan menyediakan protokol rujukan bagi kes yang memerlukan intervensi klinikal, manakala advokasi kesihatan belia dijalankan melalui platform digital seperti podcast dan dialog belia, membincangkan isu semasa termasuk HIV dan tuberkulosis,” katanya.

Melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), pelbagai program intervensi turut dilaksanakan sepanjang 2025, termasuk persidangan antarabangsa dan sesi meja bulat berkaitan kesihatan mental, pendidikan kesihatan seksual serta pencegahan tingkah laku bunuh diri.

Dua risalah panduan turut dibangunkan bersama Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan bagi membantu belia, penjaga dan penyedia perkhidmatan mengenal pasti tanda awal masalah kesihatan mental serta mendapatkan bantuan profesional.

Talian sokongan HEAL boleh dihubungi menerusi nombor 15555 dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam.-Berita RTM