Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Semua kementerian dan agensi pelaksana perlu memastikan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilaksanakan dengan segera dan disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

Ingatan itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laman Facebook.

Beliau pada masa sama turut menegaskan, skop projek yang mempunyai peruntukan besar perlu diteliti dan dinilai semula oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi serta kementerian yang bertindak sebagai pemilik projek.

Ia bagi memastikan kaedah pelaksanaan yang lebih efektif dapat diterapkan.

Ini sekali gus dapat memastikan penjimatan kos daripada projek-projek tersebut boleh disalurkan kepada projek lain yang lebih mendesak, terutamanya dalam sektor kesihatan dan pendidikan.

“Saya menekankan bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu merancang dengan lebih baik serta berfikir secara strategik menggunakan kaedah yang sesuai bagi menyelesaikan masalah dalam projek pembangunan di bawah RMK-13.

“Umpamanya, memastikan kemudahan infrastruktur dapat digunakan pada hujung tahun ini, berbanding menunggu empat tahun lagi untuk keperluan kelas atau bilik darjah murid,” tegas beliau.

Penekanan itu dimaklumkan ketika sesi taklimat pembangunan daerah Kinta, Perak yang turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan anggota kerajaan negeri sempena lawatan kerja beliau ke Tambun, hari ini.

Taklimat tersebut membincangkan pelbagai isu termasuk kepentingan negeri dan prestasi projek RMK-13 di daerah Kinta, laporan kesejahteraan rakyat, Sekolah Angkat dan Kampung Angkat MADANI, inisiatif pembangunan Kerajaan Negeri Perak, status keselamatan, projek pembangunan gerai serta cadangan pembangunan lain di daerah tersebut.

Perdana Menteri dalam pada itu menzahirkan perasaan bangga kerana tiada projek ‘sakit’ direkodkan bagi daerah Kinta.

Namun beliau mahu strategi penyampaian maklumat ditambah baik supaya pencapaian kerajaan dalam melaksanakan projek untuk rakyat dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

“Kita telah berusaha sedaya upaya melaksanakan projek untuk rakyat, dengan banyak pencapaian yang membanggakan dalam sektor kesihatan, pendidikan, keselamatan, pertanian dan sebagainya.

“Namun, kebanyakan rakyat masih tidak mengetahui kemudahan infrastruktur ini, yang melibatkan peruntukan besar di pelbagai sektor dan kawasan,” katanya.

Sehubungan itu, semua kementerian dan agensi, termasuk Kementerian Komunikasi perlu memastikan penyampaian maklumat dan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dapat diperluas dan dipertingkatkan keberkesanannya.-Bernama