TIADA alasan untuk dilewatkan bagi setiap keputusan permohonan sijil halal yang wajib diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui masih mendengar rungutan mendakwa proses permohonan itu mengambil tempoh dari sembilan bulan sehingga dua tahun.
Malah, katanya, ada yang hanya mendapat maklum balas permohonan tidak diluluskan selepas dua tahun.
“Laporan yang saya terima daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) memperlihatkan mereka mengambil beberapa langkah proaktif dan keputusan kelulusannya telah dipercepatkan. Maklumat itu mungkin hanya maklumat di atas kertas, tetapi di luar sana masih terdapat rungutan.
“Harus ada kelangsungan di antara proses memperbaiki dan mempercepatkan pengeluaran sijil itu,” katanya dalam ucaptama majlis Halal Sector Forum 2023, di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan desa dan Wilayah mahu bengkel pensijilan halal diadakan tiga kali setahun bagi menyegerakan pengeluaran sijil halal kepada pemohon baharu dan mereka yang ingin memperbaharui sijil.
Katanya, pada masa sama prosedur bagi memperolehi sijil halal juga perlu dipermudahkan supaya tidak menyusahkan pemohon dan perkara itu boleh dilakukan jika ada kerjasama antara kumpulan agama, pakar serta pemain industri halal.
“Kita harus keluar daripada kepompong bekerja secara silo,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan, bagi menentukan pembaharuan pensijilan halal, Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menawarkan kursus dengan silibus berdasarkan cadangan Jakim, khususnya dalam bidang halal.
Menurutnya, inisiatif Mara melalui Giatmara dan beberapa TVET lain diminta menghasilkan lebih ramai juruaudit halal dalam industri mengeluarkan produk halal.
Jelasnya, Universiti Kuala Lumpur turut mewujudkan kursus berkaitan industri halal di peringkat ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD).
“Maka, saya minta syarikat multinasional serta syarikat besar, terutama produk berasaskan eksport atau pekilang harus mengambil juruaudit halal bagi menentukan piawaian dan tatacara halal ini dapat diikuti berdasarkan khidmat nasihat dan pandangan profesional juruaudit ini.
“Dalam hal ini, saya ingin mencadangkan berdasarkan saranan perdana menteri bahawa langkah sinergi harus dilakukan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Halal Development Corporation Berhad, Jakim, Jabatan Standard Malaysia dan Mara agar penyelarasan dapat dilakukan segera,” katanya. – Media Perpaduan