Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MESYUARAT Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral akan diadakan pada 2 Oktober depan untuk membincangkan berkenaan perluasan penggunaan prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) ke seluruh negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, garis panduan dan SOP berkenaan NR-REE telah diluluskan secara prinsip di peringkat Kabinet dan dijangka dikuatkuasakan tahun ini.

“SOP Perlombongan NR-REE telah dipersetujui di peringkat Kabinet dan sudah pun dibawa ke Majlis Mineral Negara (MMN) dan saya diberikan tanggungjawab untuk mempengerusikan mesyuarat satu jawatankuasa penyelarasan bersama EXCO berkaitan.

“SOP terbabit memberi fokus kepada prosedur di peringkat pra perlombongan, semasa perlombongan dan selepas perlombongan bagi memastikan aktiviti berkaitan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.

“Ia juga menggariskan perundangan dan peraturan yang dikawal selia oleh agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri.

“Selain itu, NRECC pada masa ini sedang memuktamadkan model perniagaan industri NR-REE bagi membangunkan keseluruhan rantaian nilai ” katanya pada sidang media Program Naratif Ekonomi Madani dan Dialog Belanjawan 2024, NRECC di ibu negara, hari ini. – Media Perpaduan