Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang untuk melaksanakan kajian Indeks Ketegangan Masyarakat, tahun ini, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan kajian Indeks Patriotisme Penjawat Awam.

“Hasil kajian ini akan dijadikan penanda aras bagi memastikan setiap dasar perpaduan digubal berasaskan data dan mampu memberi impak nyata terhadap kestabilan sosial serta kelestarian perpaduan negara,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan dalam laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) sama ada kementerian bercadang membuat kajian sikap bagi mengetahui punca perpaduan dalam kalangan rakyat majmuk negara ini semakin hambar, serta langkah untuk mengatasi masalah itu.

Mengenai hubungan rentas kaum di negara ini, Aaron berkata, Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) menunjukkan skor perpaduan dan keharmonian semakin baik saban tahun.

Beliau berkata, IPNas adalah satu-satunya indeks pengukuran tahap perpaduan yang diguna pakai oleh kerajaan bagi melihat kedudukan semasa perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus membolehkan usaha intervensi diperkenalkan.

“Skor IPNas pada 2018 ialah 0.567, manakala pada 2022 pula 0.629.

“Skala ini dibahagikan kepada empat kategori, iaitu tahap perpaduan lemah (0.0-0.24), rendah (0.25- 0.49), sederhana (0.50-0.74) dan tinggi (0.75-1.0).

“Skor IPNas 2022 menunjukkan situasi perpaduan negara berada pada tahap baik dan terkawal,” katanya.-BH Online