KUALA LUMPUR, 18 Januari – Parti Progresif Penduduk (PPP) sah diiktiraf menjadi salah sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) demikian pengumuman daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, beliau telah menerima surat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bertarikh 25 November 2025 berhubung perkara itu.
“Saya dan rakan-rakan sengaja melambatkan pengumuman ini kerana kami menunggu tarikh untuk Perhimpunan Agung PPP.
“Penyertaan PPP merupakan berita gembira bukan sahaja kepada parti berkenaan, malah kepada BN secara keseluruhan kerana ia mengukuhkan lagi struktur gabungan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung PPP di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa tiada mana-mana parti yang boleh mempertikaikan kedudukan sah PPP dalam BN.
Dengan penyertaan PPP, BN kini mempunyai lima parti teras iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sekali gus mencerminkan tahap kesatuan serta kestabilan dalam kalangan parti komponen BN.-Berita RTM
