Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan hasrat UMNO untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali ‘grand collaboration’ atau ‘kolaborasi agung’, tanpa berhajat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO menyatakan hasrat itu ketika membangkitkan satu usul yang dikemukakannya sendiri ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, hari ini, yang kemudian dipersetujui perwakilan.

Ahmad Zahid berkata, UMNO mahu kolaborasi agung itu dapat benar-benar menyatukan roh dan perjuangan parti Melayu dan Islam dalam kerangka lebih besar.

UMNO juga katanya, tidak mahu mana-mana parti yang akan menganggotai kolaborasi itu membubarkan parti mereka, sebaliknya bersama secara tidak rasmi terlebih dahulu bagi langkah awal dan menjadikannya sebagai satu gabungan besar.

“Dengan ini, bisikan dan pinangan itu diterima dengan rasminya, dengan syarat tidak mengganggu gugat Kerajaan Perpaduan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jangan risau. Saya tidak akan ada agenda untuk ‘tebuk atap’ atau mahu menggugat Kerajaan Perpaduan, tetapi semata-mata bertujuan menterjemah keikhlasan UMNO untuk merangkul semua parti Melayu dan Islam di bawah satu bumbung demi menterjemah agenda Islam dan Melayu.

“Mudah-mudahan, jika ini dapat kita terima dan menjadi satu usul yang dikemukakan Presiden sendiri kepada seluruh perwakilan dalam PAU 2025,” katanya.

Ahmad Zahid, berkata kolaborasi agung itu akan dapat mengetepikan warna berbeza dalam kalangan parti Melayu dan Islam, yang seharusnya berada di bawah satu bumbung yang sama.

Semalam ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO, Ahmad Zahid berkata UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak, baik secara individu atau secara en bloc.

Beliau juga dilapor berkata, pintu UMNO sentiasa terbuka luas, yang menjadi tempat ahli dibesarkan dan mengadun erti perjuangan.

Sementara itu, Ahmad Zahid, memaklumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang ditubuhkan bagi memperkukuh agenda penyatuan politik Melayu serta membuka ruang penyertaan lebih luas ke dalam UMNO.

“Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa ini ditubuhkan bagi menerima penyertaan semula ahli parti yang sudah meninggalkan UMNO, selain membuka ruang kepada mereka yang belum pernah menjadi ahli untuk menyertai UMNO mengikut proses dan peraturan sedia ada,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan tokoh veteran UMNO, Tan Sri Abdul Ghani Othman dilantik menerajui Musyawarah Nasional, jawatankuasa khas bagi membincangkan agenda politik Melayu secara menyeluruh merangkumi kedudukan Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan serta masa depan generasi Melayu.-BH Online