KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi amaran supaya tidak terjebak dengan isu integriti, penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, budaya hedonisme dan unsur kemungkaran.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika memberi kata dua itu berkata mereka yang didapati bersalah akan diheret ke muka pengadilan dan tidak terlepas hukuman berat.
Beliau menegaskan peringatan itu susulan kepercayaan rakyat dengan ATM terjejas dan terhakis selepas siasatan serta penahanan membabitkan beberapa pegawai kanan pasukan keselamatan itu.
“Mewakili UMNO, kita bertekad menegaskan bahawa kita akan pulihkan balik kepercayaan bangsa dan negara terhadap ATM. Antaranya, melalui usaha membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang terdapat dalam ATM.
“Sesiapa sahaja yang bersalah, kita akan pastikan mereka diheret ke muka pengadilan dan dihukum sekerasnya.
“Mereka yang mencemar nama baik ATM bukan cerminan akhlak dan kewibawaan ATM,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Mohamed Khaled menegaskan walaupun terpalit dengan isu displin, ia bukan bermaksud semua warga ATM bermasalah.
Sebaliknya, beliau berkata terdapat ramai anggota ATM yang berintegriti dan ikhlas berkhidmat serta sedia berkorban demi negara.
“Jadi kepada rakyat sekalian tolonglah berlaku adil dan munasabah terhadap ATM. Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Janganlah hanya kerana segelintir sahaja, semua dalam ATM dianggap sebegitu dipandang serong,” katanya.-BH Online
