BANGI: Amalan filantropi di Malaysia memerlukan pendekatan baharu yang lebih profesional, berorientasikan impak dan kreatif, selari perubahan global dalam dunia kemanusiaan.
Filantropi merujuk kepada amalan membantu orang lain secara sukarela untuk kebaikan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, ketika menekankan perkara itu berkata derma tradisional saja tidak mencukupi untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi filantropi.
Sebaliknya, beliau berkata, ia perlu diterokai melalui kaedah inovatif seperti instrumen kewangan hibrid dan kerjasama strategik antara sektor awam, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Hari ini, kita tidak boleh hanya bergantung pada derma biasa.
“Kita perlu menggunakan kaedah kewangan dan filantropi yang lebih kreatif untuk memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat.
“Derma tetap diteruskan, namun ia sahaja adalah tidak cukup untuk memaksimumkan potensi filantropi di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) 2025 dan Pelancaran Kempen #HopeforGaza, di sini, semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim; dan Ketua Pengarah YaPEIM, Zabidi Nasan.
Dalam pada itu, Zulkifli menegaskan setiap organisasi filantropi perlu memastikan tadbir urus dan integriti dikekalkan supaya kepercayaan masyarakat tidak terjejas.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan YaPEIM untuk menawarkan latihan, kepakaran serta kursus kepada NGO bagi memastikan pengurusan kewangan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan mematuhi standard ditetapkan.
“Walaupun kita melakukan kebaikan selama 100 tahun, jika sekali ada isu kemungkaran, ketidakjujuran atau penyelewengan, maka seluruh keyakinan serta kepercayaan masyarakat akan runtuh,” katanya.
Pada majlis itu, Zulkifli turut menyempurnakan penyerahan simbolik bantuan Sinar Lestari dan bantuan pendidikan YaPEIM, selain menyampaikan sijil penghargaan kepada lebih 20 rakan strategik yayasan itu yang aktif menyumbang kepada usaha kebajikan.-BH Online
