KUALA LUMPUR: UMNO menubuhkan sebuah jawatankuasa dirujuk Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menerima kembali mana-mana bekas ahli, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata penyertaan semula itu boleh secara individu atau en bloc.
“Pintu rumah bangsa ini sentiasa terbuka luas. Di sini kita dilahirkan, justeru bagi menyambut kembali kepulangan saudara, adik-beradik, ahli keluarga kita, sebuah Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa akan ditubuhkan.
“PAS asal dari kita, PKR dari kita, juga BERSATU dari kita. Saya mahu dengar dari sidang perwakilan, apakah kita semua bersedia menerima saudara kita kembali ke rumah bangsa ini,” katanya diiringi sorakan dan tepukan lebih 6,000 perwakilan UMNO.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, gagasan payung besar orang Melayu pernah cuba dibina tanpa UMNO, namun sejarah membuktikan ia tidak mendapat sambutan.
“Payung itu rebah kerana tidak berpaut kepada rumah asalnya. Kenapa perlu kepada payung, andai rumah sudah tersergam indah. Sejarah rumah bangsa ini tidak akan pernah terpadam.
“Dari rumah inilah lahirnya pelbagai parti dan gerakan politik Melayu – PAS, Semangat 46, PKR, BERSATU, PEJUANG, Warisan, GRS, bahkan GPS sudah turut berkongsi satu roh kenegaraan.
“Ada yang lahir daripada konflik dan kekecewaan, ada yang muncul akibat perbezaan hala tuju dan wadah yang tidak selaras. Ini bukan sejarah untuk dibanggakan secara angkuh, tetapi perlu diinsafi dengan rendah hati. Politik Melayu- Islam tidak boleh terus berselerak,” katanya.
Katanya, UMNO adalah rumah asal politik Melayu dan dari rumah itulah lahirnya kemerdekaan, terbinanya Perlembagaan, Islam dimartabatkan sebagai tiang negara dan Raja-Raja Melayu didaulatkan.
“Rumah ini bukan sekadar dinding dan bumbung, ia menjadi paksi kepada sebuah negara bangsa, rimbunan yang memayungi segenap latar agama, bangsa dan budaya.
“Rumah ini perlu dibersihkan daripada debu keangkuhan agar kembali menjadi teduhan selesa buat seluruh anak bangsa tanpa mengira pangkat dan darjat. UMNO bukan parti elit, tetapi lahir dari keringat rakyat.
“UMNO adalah rumah buat semua bertaut kembali, saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah, kembalilah, kembalilah. Bak kata pepatah ‘sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan’,” katanya.-BH Online
